Sabtu, 19 Februari 2011

Kewajipan Beriman Dengan Injil

Firman Allah S.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 285 (yang bermaksud): “Rasulullah sudah beriman kepada apa yang diturunkan kepada Tuhannya dan juga orang yang beriman semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-Nya, dan kitab-Nya”Antara rukun Iman yang wajib kita yakini iaitu beriman kepada kitab yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya. Di antara kitab itu adalah Injil yang diturunkan kepada Nabi Allah Isa. Maksud beriman dengan kitab Injil iaitu kitab Injil (asal) yang diturunkan kepada Nabi Isa dan bukanlah injil yang sudah diubah oleh tangan manusia.

Sesiapa yang mengingkari kitab Injil yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Allah Isa adalah kufur dan keluar daripada agama Islam, murtad wal’iyazubillah.

Tersebut dalam kitab suci al-Quran pada surah Ali Imran, ayat 1 hingga 4 dengan firman-Nya yang bermaksud: “
Alif, Laam, Miim. Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir sekalian makhluk-Nya. Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran yang mengesahkan isi kitab suci yang sudah diturunkan dulu daripadanya dan Dia juga menurunkan kitab Taurat dan Injil. Sebelum (al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga menurunkan al-Furqaan (yang membezakan antara benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat”

Kepada saudara yang bertanyakan benarkah kitab Injil menerangkan bahawa Isa anak Tuhan? Maka untuk permasalahan ini, saya ingin menyatakan berdasarkan kitab Injil menurut riwayat Barnaba kerana Injil ini adalah yang hampir dengan Injil yang asli. Namun Injil ini ditolak oleh penganut kristian. Terjemahannya iaitu:
  • 1. Barnabas Rasul Yesus (Isa) orang Nazaret yang bergelar al-Masih, menginginkan kesejahteraan dan hiburan bagi seluruh penduduk bumi.

  • 2. Wahai orang yang terhormat. Bahawasanya Allah yang Maha Besar, dan penuh ajaib sudah menilik kita pada hari-hari yang akhir ini dengan mengutus Nabi-Nya Yesus al-Masih, dengan rahmat besar untuk mengajar dan menjelaskan cara-cara yang sudah digunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menyesatkan ramai orang dengan alasan takwa.

  • 3. Mereka menyebarkan ajaran kekufuran yang berlebihan.

  • 4. Mereka mendakwa bahawa al-Masih itu anak Allah SWT.

  • 5. Mereka menolak sunat yang selama ini diperintahkan oleh Allah SWT.

  • 6. Mereka menghalalkan setiap daging yang najis.

  • 7. Paulus juga sudah ikut serta di kalangan mereka, hal yang menyebabkan saya tidak bercakap mengenainya melainkan kesedihan.

  • 8. Ini yang mendorong saya menulis kebenaran yang sudah saya lihat dan mendengarnya ketika bergaul dengan Yesus, agar kamu semua selamat dan tidak disesatkan oleh syaitan yang akan membinasakan kamu pada hari pembalasan Allah.



Demikian Mukadimah Injil Barnabas yang sudah diterjemahkan. Justeru, maksud beriman dengan kitab Injil iaitu kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa, bukan injil yang sudah diubah oleh tangan manusia.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 171 yang bermaksud:
“Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar, sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang sudah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan kamu mengatakan (Tuhan itu) tiga. Berhenti (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan kepada kamu. Hanya Allah SWT ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak..” Demikianlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan