Khamis, 16 Ogos 2012

Aidilfitri Rapatkan Ukhuwah


Falsafah Aidilfitri untuk merapatkan silaturahim dan persaudaraan sesama umat Islam serta ahli keluarga dapat dilihat melalui budaya balik kampung, ziarah menziarahi serta konsep rumah terbuka yang menjadibudaya masyarakat negara ini. 
Pendakwah bebas, Mohd Yaakob Mohd Yunus, berkatkesempatan itu wajar digunakan ibu bapa untuk memperkenalkan anak mereka kepada saudara mara yang jarang berjumpa supaya silaturahim dan ukhuwah terus terpelihara

Selain amalan ziarah-menziarahi, budaya saling bermaaf-maafan juga menjadi tradisi yang sebati dalam kalangan masyarakat setiap kali tibanya Aidilfitri”. - Mohd Yaakob Mohd Yunus, Pendakwah bebas
“Oleh itu ibu bapa perlu mengekalkan tradisi ziarah menziarah ketika Aidilfitri ini dengan membawa anak bersama. Jangan biarkan anak kita berkumpul depan televisyen. Pujuk dan jelaskan kepada mereka hikmah di sebalik kunjungan itu.

“Pastinya kita tidak mahu anak tidak mengenali sepupu, bapa saudara atau ahli kerabat yang lain terutama yang tinggal berjauhan. Adalah malang jika kita sering bersua tetapi tidak mengetahui ada mempunyai hubungan keluarga,” katanya.

Perluas ukhuwah sesama umat 

Katanya, selain ahli keluarga, ukhuwah perlu diperluaskan dalam kalangan sesama umat Islam kerana setiap manusia yang beriman kepada Allah dianggap bersaudara seperti firman Allah SWT: “Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10) 
Rasulullah SAW turut bersabda: “Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Imam al-Bukhari) 

Lantaran itu sambutan Aidilfitri bertujuan merayakan kemenangan kerana berjaya menunaikan kewajipan sebagai hamba yang taat perintah Allah turut diterapkan nilai memupukkan semangat persaudaraan serta mengukuhkan silaturahim sesama umat Islam.

Mohd Yaakob berkata, cara Rasulullah SAW mengatur solat sunat Aidilfitri di tanah lapang (musolla) berbanding masjid supaya dapat mengumpulkan seramai mungkin umat Islam pada satu masa di satu tempat juga tersirat maksud tersendiri. 

“Setidak-tidaknya kita semua boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelusuk negeri akan berkumpul di satu tempat, menghadap Allah dengan hati penuh khusyuk.

“Bersama membaca kalimat tauhid, solat di belakang imam, bertakbir dan bertahlil berdoa kepada Allah dengan ikhlas. Seakan-akan hati kita terikat menjadi satu, dengan itu hari raya benar-benar bermakna.” katanya.

Makna zakat
Beliau berkata, pensyariatan zakat fitrah bukan saja bertujuan membersihkan mereka yang berpuasa daripada perkara menyebabkan ibadahnya menjadi kurang sempurna disebabkan melakukan perkara sia-sia dan mengucapkan perkataan keji. 

Malah, pemberian zakat untuk meringankan beban golongan tidak berkemampuan juga bukti tanda kasih sayang umat Islam kepada saudaranya kerana jika mereka bergembira maka saudara mereka juga berhak menikmati kegembiraan itu. Beginilah Islam mengatur sambutan Aidilfitri supaya hati umat Islam bersatu. 

Selain amalan ziarah-menziarahi, budaya saling bermaaf-maafan juga menjadi tradisi yang sebati dalam kalangan masyarakat setiap kali tibanya Aidilfitri. Amalan itu mampu menimbulkan rasa kasih sayang dan saling hormat-menghormati.

Saling bermaaf-maafan

Mohd Yaakob berkata, bagi mereka yang sudah lama berbalah boleh mengambil keberkatan Aidilfitri ini untuk mempersatukan semula hati dan memperbetulkan keadaan dengan bermaaf-maafan.

“Semoga suasana meriah dan gembira ketika sambutan Aidilfitri boleh mempengaruhi kotak minda seseorang untuk lebih mudah memaafkan kesalahan pihak lain. Apa pun, umat Islam perlu membudayakan sikap bermaaf-maafan bukan sekadar pada Aidilfitri saja,” katanya.

Beliau berkata, ciri orang bertakwa yang dikasihi Allah ialah bersegera melaksanakan amal baik, mendermakan harta tidak kira ketika senang atau susah, menahan kemarahan serta memaafkan kesalahan orang lain.

Isnin, 23 Julai 2012

Didik Anak Seronok Berpuasa


                  Puasa menjadi kewajipan apabila seorang Islam baik lelaki atau perempuan mencapai akil baligh, dan mematuhi beberapa syarat lain. Hukum ini terpakai juga kepada ibadah lain dalam Islam. 

Mencapai akil baligh bermaksud lelaki dan perempuan yang mencecah usia tertentu serta mengerti tugasnya sebagai muslim yang diperintah bersolat dan berpuasa semata-mata kerana Allah. Kita disyorkan melatih anak-anak melaksanakan perintah Allah seperti bersolat dan berpuasa apabila mereka berusia tujuh tahun. Malah, sesetengah kita mula melatih anak bersolat seawal usia tiga dan empat tahun. 


Anjuran laksana ibadah 

Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

Persoalan adakah kanak-kanak digalakkan atau sememangnya diperintahkan berpuasa sebelum mencapai umur baligh? Kebanyakan kita menyandarkan hadis solat itu bagi melatih kanak-kanak berpuasa. 

Umumnya, jawapan terbaik untuk soalan ini adalah apa yang disebut hadis riwayat Imam Bukhari: “Nabi SAW mengirim utusan ke kampung golongan Ansar pada siang hari Asyura (untuk menyampaikan): Bahawa siapa yang tidak berpuasa sejak pagi hari maka dia harus menggantinya pada hari lain, dan siapa yang sudah berpuasa sejak pagi hari maka hendaklah dia melanjutkan puasanya. Dia (Ar-Rubai' binti Mu'awwidz) berkata: Selepas itu kami selalu berpuasa dan kami juga mendidik anak kecil kami untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka semacam alat permainan diperbuat daripada bulu serigala, apabila seorang daripada mereka ada yang menangis meminta makan maka kami beri dia permainan itu. Demikianlah terus kami lakukan hingga tiba waktu berbuka.” 

Waktu terbaik berpuasa 

Jelas sahabat Nabi SAW ketika itu melatih anak mereka berpuasa walaupun belum mencapai usia akil baligh kerana menyedari pentingnya jiwa kanak-kanak dilatih memahami tanggungjawab berpuasa apabila mencapai usia akil baligh. 

Kebanyakan cerdik pandai setuju kanak-kanak digalakkan berpuasa jika mereka dapat menanggung kesusahan ibadat itu. Bagaimanapun, ada perbezaan pendapat kalangan ulama berkenaan waktu terbaik kanak-kanak memulakan latihan puasa. 

Sebahagiannya mencadangkan pada usia tujuh tahun atau 10 tahun seperti dalam kes solat. Berbeza bagi Imam Ahmad bin Hanbal yang mencadangkan ia bermula pada usia 10 tahun, manakala ulama lain menyebut titik permulaan latihan adalah pada usia 12 tahun. 

Ulama Maliki mempunyai pandangan berbeza yang mencadangkan kanak-kanak tidak perlu digalakkan berpuasa. Bagaimanapun, pandangan itu tidak disokong bukti sahih. Cuma satu alasan diberikan Mazhab Maliki, mereka menganggap amalan penduduk Madinah adalah petunjuk sah dan boleh diterima dalam Islam. 

Madinah adalah tempat lahirnya masyarakat Islam dan kebanyakan sahabat Rasulullah tinggal di situ dan terus berada di sana untuk masa lama, malah hingga sekarang. 

Namun, Imam Bukhari menunjukkan kepada kita penduduk Madinah juga menggalakkan kanak-kanak berpuasa menerusi satu riwayat. Kisahnya, suatu hari Umar al-Khattab dihampiri seorang lelaki yang mabuk ketika Ramadan. Lalu Umar berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak) 

Pujuk anak berpuasa 

Amalan menggalakkan kanak-kanak berpuasa ketika Ramadan juga amalan dilakukan penduduk Madinah pada zaman Umar. Justeru, menggalakkan kanak-kanak berpuasa menjadi pendapat dipegang majoriti ulama. 

Kemungkinan juga, usia kanak-kanak yang dilatih berpuasa pada zaman Rasulullah lebih muda daripada tujuh, 10 atau 12 tahun, kerana dalam hadis golongan Ansar dinyatakan wanitanya membuat barang mainan lembut untuk memujuk dan mengalih perhatian anak mereka yang kelaparan. 

Mainan seperti itu, tidak memberi erti bagi kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun pada masa itu. Jadi kanak-kanak yang mesti dipujuk adalah mereka yang berusia lebih muda. 

Menggalakkan kanak-kanak berpuasa, tidak perlu kita memaksa mereka menghabiskannya sehingga sebulan. Ibu bapa sepatutnya menggunakan cara lebih santai dan bijak dalam mendekatkan diri anak kepada ibadah dituntut dalam Islam. Cari jalan supaya anak seronok berpuasa.

Ahad, 15 Julai 2012

Tabung Haji Sasar Dividen Tinggi

Tabung Haji menjangka dapat mengagihkan dividen lebih tinggi kepada pendepositnya tahun ini susulan pulangan menarik diraih daripada pelaburannya serta hasil penjualan pegangannya dalam syarikat perladangan di Indonesia.

Ia mencerminkan usaha lembaga itu memastikan modal pendeposit terus dilindungi, pada masa sama memberikan mereka pulangan menarik, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail. Beliau memberitahu BERNAMA pada temu bual baru-baru ini, Tabung Haji memastikan semua pelaburan yang dibuatnya akan memberikan pulangan.
“Tahun lalu, kami mengisytiharkan dividen enam peratus. Diharapkan kami boleh mengekalkan prestasi itu.

“Kami berusaha keras memastikan wang pendeposit serta modal dilindungi dan memastikan mereka mendapat pulangan yang baik,” katanya.

Ismee berkata, pulangan tinggi daripada pelaburan membolehkan Tabung Haji terus menyerap sebahagian kos mengerjakan haji rakyat Malaysia yang meningkat setiap tahun.

Tahun ini, katanya, subsidi bagi setiap jemaah naik kepada RM5,175 daripada RM4,320 tahun lalu susulan peningkatan kos penginapan, pengangkutan dan kos berkaitan, namun pendeposit yang mengerjakan haji kali pertama masih dikenakan bayaran RM9,980 bagi pakej haji, tidak pernah berubah sejak 2009.
Jangka panjang

Beliau berkata, pelaburan hartanah Tabung Haji di Makkah juga strategi jangka panjang mengurangkan kos mengerjakan haji kerana ia boleh menggunakan pulangan daripada pelaburan itu sebagai subsidi.

Mengenai penjualan 95 peratus pegangan Tabung Haji dalam PT TH Indo Plantations bernilai RM3 bilion, Ismee berkata, pembelinya diberi sehingga akhir Ogos ini menyiapkan proses kajian terperinci.

“Sudah tentu penjualan itu akan dimasukkan sebagai perkara luar biasa bagi tahun ini dan jelas sekali kami akan memperoleh keuntungan besar daripadanya.

“Kami akan mengisytiharkannya sebagai dividen kepada pendeposit, ia akan diterjemahkan kepada dividen tinggi," katanya.

Beli pegangan

Tabung Haji membeli pegangan dalam syarikat di Indonesia yang memiliki ladang seluas 83,879 hektar di Riau, Sumatera itu pada harga antara RM800 juta hingga RM1 bilion pada 1997.

Tabung Haji turut merancang menggunakan hasil jualan itu untuk meningkatkan penerokaannya dalam perladangan dan menyasar Malaysia dan Indonesia bagi kemungkinan pelaburan baru.

"Perladangan adalah satu daripada sektor yang mana Tabung Haji akan terus mengembangkan pembabitannya,” katanya.

Selasa, 10 Julai 2012

Berdakwah, Beramal Kena Seiring

Dakwah adalah amal paling utama kerana melalui dakwah, Islam dapat tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Melalui dakwah juga, Islam dapat diwariskan daripada satu generasi ke generasi dan menjadikannya hidup sepanjang masa. 

Islam juga dapat ditegakkan di tengah-tengah kehidupan lantaran aktiviti dakwah. Terdapat banyak dalil memerintahkan Muslimin untuk sentiasa berdakwah. Ganjaran pahala yang disediakan bagi pendakwah juga amat besar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?” (Surah Fussilat, ayat 33) 




Secara zahirnya seperti dijelaskan Al-Alusi, seruan dakwah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melalui lisan, manakala perkataan ‘kepada Allah SWT’ bermaksud mengajak kepada tauhid Allah dan taat kepada-Nya. 

Asy-Syaukani dan Al-Jazairi dalam tafsir mereka tidak jauh berbeza dengan pendapat Abu Hayyan Al-Andalusi yang mengatakan dari sudut seruan ayat, ia menyeru kepada Islam, berjihad melawan kaum kafir dan menghentikan perbuatan orang zalim. 

Tidak ada perkataan disampaikan seseorang yang lebih baik daripada orang yang menyeru kepada Allah SWT. Menurut Fakhruddin Al-Razi, ini menunjukkan berdakwah kepada Allah lebih baik daripada perkara lain. 

Semua manusia maklum bahawa yang dihasilkan lisan adalah ucapan atau perkataan. Seperti anggota badan lain, apa saja dilakukan lisan adalah wajib terikat dengan hukum syarak. 
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata khair (yang baik-baik) atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmidzi daripada Abu Hurairah) 

Perkataan yang mengandungi seruan dakwah kepada Allah dan agama-Nya adalah perkataan paling baik kerana ucapan itu bukan saja menampilkan kesempurnaan dirinya, juga dapat menyempurnakan orang lain. Pahala diberikan kepada orang melakukan aktiviti itu juga sangat besar. 

Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya satu orang diberikan petunjuk Allah melalui perantaraan (pendakwah), maka itu lebih baik daripada unta merah.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i) 

Apabila dakwahnya diterima, pahala diberikan kepadanya pun terus mengalir. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menunjukkan/mengajarkan suatu kebaikan, maka dia mendapat pahala yang sama seperti orang yang melakukannya (mengikutinya).” (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ahmad) 

Di samping menyampaikan dakwah kepada Allah, mereka (pendakwah) juga wajib mengamalkan apa yang didakwahkan. Amal itu perlu berlandaskan kepada keikhlasan terhadap Allah SWT semata-mata dan hanya mengharapkan keredaan-Nya. 

Amal soleh menunjukkan orang yang menyampaikan dakwah kepada Islam wajib mengamalkan apa yang disampaikannya. Perkataan dan perbuatannya perlulah seiring. Bahkan orang yang menyampaikan itulah yang sepatutnya lebih taat terhadap perkara yang didakwahkannya. 

Allah SWT mencela orang yang hanya tahu menyeru kepada orang lain untuk berbuat kebaikan padahal dirinya sendiri mengabaikan apa yang disampaikan. 

Allah SWT berfirman: “Mengapakah kamu menyuruh orang lain untuk (mengerjakan) kebajikan sedangkan kamu melupakan (kewajipan) dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab.” (Surah Al-Baqarah, ayat 44) 

Firman-Nya lagi: “Wahai orang beriman, mengapakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah As-Saff, ayat 2-3) 

Perkataan yang terbaik iaitu perkataan mengajak kepada Islam, disampaikan oleh orang yang taat terhadap syariah dan tanpa ragu-ragu malah dengan bangga menunjukkan jati dirinya sebagai kaum Muslimin. 

Sesiapa saja yang ingin mendapatkan kemuliaan, darjat, martabat yang tinggi di sisi-Nya dan kebahagiaan hakiki, maka ketiga-tiga sifat itu perlu dimiliki. Semoga kita termasuk dalam golongan itu.

Jumaat, 6 Julai 2012

Hikmah Bersin Kepada Kesihatan Manusia Menurut Islam


                      Sesuatu perkara yang berlaku adalah kehendak dan kurniaan daripada Allah SWT. Manusia harus menerima dengan perasaan reda dan merendah diri kerana pada dasarnya segala-galanya adalah untuk kebaikan umat manusia.

                      Setiap ciptaan mempunyai tujuan tersendiri dan bukanlah sia-sia seperti anggapan sesetengah masyarakat. Firman Allah SWT bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa ada ciptaan Allah yang tiada mempunyai tujuan serta sia-sia?” (Surah al-Mukminun, ayat 115) Ada perkara yang tersirat kadang kala tidak menggambarkan apa yang tersurat. Namun, peradaban dalam Islam amat dititikberatkan kerana Islam tidak sekali-kali membenarkan perasaan orang lain terganggu akibat sesuatu tindakan yang kita lakukan. 
Sesiapa yang bersin hendaklah menyebut 'Alhamdulillah' dan berkatalah mereka yang berada di sisinya 'Yarhamukallah'. Inilah salah satu antara hak orang Islam terhadap saudaranya yang lain (mendoakan ketika bersin). - Hadis riwayat Aishad dari Abi Ya’la
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin, hendaklah meletakkan tangannya di mulut dan merendahkan suaranya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
                 Di sinilah letaknya keadilan dan kesaksamaan Islam yang mana segala gangguan mental dan fizikal terhadap orang lain adalah dilarang walaupun kepada golongan bukan Islam.

             Antara perkara yang sering dilupai umat Islam ialah ‘bersin’ dan disiplinnya. Ramai menganggap ia perkara biasa dan tiada kaitan dengan agama. Sebenarnya bersin mempunyai disiplin tersendiri yang perlu dijaga supaya tidak mengganggu perasaan orang lain ketika kita bersin.

           Kita dianjurkan supaya tidak meninggikan suara serta mengucapkan pujian kepada Allah SWT (Alhamdulillah) serta menutup hidung dan mulut ketika bersin. Dianjurkan pula mereka yang mendengar pujian itu mendoakan dengan rahmat Allah SWT (Yarhamukallah). 
Sesungguhnya al-Quran dan sunnah penuh dengan hukum dan hikmah untuk kemaslahatan manusia. Ibnul Qayyim menyebut: “Jika hanya ada seratus perkara dalam al-Quran dan sunnah, nescaya kita akan menyelaminya dengan mudah. Tetapi hakikatnya, di sana terdapat ribuan perkara yang datang dalam pelbagai bentuk dan cara.” (Miftah As-Saa’dah)

Hikmah diciptakan bersin kepada manusia adalah berdasarkan beberapa perkara, antaranya untuk menggambarkan Islam sebagai agama yang sentiasa menitikberatkan hubungan hamba dan Penciptanya dalam semua keadaan. Oleh itu, setiap pekerjaan dilakukan mempunyai doa tersendiri daripada Baginda SAW.

Jawapan yang diucapkan daripada orang yang bersin serta mereka yang mendengar pujian dapat menciptakan suasana keislaman dalam masyarakat serta menggalakkan mengingati Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin hendaklah menyebut ‘Alhamdulillah’ dan berkatalah mereka yang berada di sisinya ‘Yarhamukallah’. Inilah salah satu antara hak orang Islam terhadap saudaranya yang lain (mendoakan ketika bersin).” (Hadis riwayat Aishad dari Abi Ya’la)

Syekh A’llamah Al-Haliimy berkata: “Bersin juga akan mengurangkan tekanan yang terdapat dalam pemikiran selepas banyak berfikir. Oleh sebab itulah orang yang menjawab berkata: “Semoga Allah lapangkan pemikiranmu.”

Berkata Ibnu A’rabi, bersin akan mengejutkan segala saraf bermula daripada kepala ke bahagian tengkuk dan ucapan Yarhamukallah daripada mereka yang mendengar bermaksud supaya Allah kembalikan sarafnya seperti sedia kala.

Ibnu Abi Hamzah berkata, bersin adalah satu nikmat Allah SWT kepada hambanya untuk menghilangkan kemudaratan dalaman manusia. Oleh sebab itulah mereka yang bersin dianjurkan memuji Allah SWT dan mereka yang menjawab pujian itu sangat dituntut oleh Islam dan mendapat ganjaran Allah SWT. (Kitab Fathul Bari)

Begitu juga jalinan ukhuwah antara umat Islam selepas berlaku dua hubungan antara orang yang bersin dan mereka yang menjawabnya. Mereka saling mendoakan antara satu sama lain sehingga melahirkan hubungan yang kukuh antara umat Islam.

Perasaan persendirian, keegoan serta permusuhan adalah penyakit masyarakat dan adalah mukadimah kepada keruntuhan agama. Sesungguhnya bersin dapat mewarnai sikap layanan yang baik terhadap orang lain dan dapat menjelmakan semangat kasih sayang antara umat Islam.

Islam juga menafikan fahaman masyarakat jahiliah dulu yang menganggap mereka yang bersin adalah pembawa sial dan berpenyakit. Ada juga sebahagian daripada mereka menganjurkan diputuskan atau diusahakan tidak bersin supaya tidak tergolong daripada golongan yang sial.

Mereka juga akan menjawab kepada yang bersin mengikut penilaian orang itu pada pandangan masing-masing. Contohnya, jika orang itu disukai maka mereka akan mendoakan supaya sihat dan panjang umur. Jika orang itu dibenci maka jawapannya adalah celaka dan mati. Ada juga yang menjawab, itu (sial) adalah untukmu dan bukan untukku.

Doa keampunan diungkapkan mereka yang bersin dan mereka mendengarnya telah membina satu ikatan malah dengan jawapan semula oleh orang yang bersin dengan doa hidayah untuk kedua-duanya dapat membina kasih sayang antara keduanya. Doa inilah yang memadamkan fahaman jahiliah yang menggalakkan kezaliman dan permusuhan sesama manusia.

Rabu, 4 Julai 2012


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memburu hampir 100,000 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka berjumlah RM1.9 bilion sejak 1997. Biarpun beberapa kali notis amaran dikirim kepada mereka, namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas daripada peminjam liat itu. 
Sepatutnya peminjam bersikap lebih positif, berterima kasih kepada PTPTN yang menyediakan dana besar untuk membiayai pengajian masing-masing. 

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, amalan berhutang berlaku seperti kisah Nabi Muhammad SAW berhutang seekor unta, kemudian Baginda membayar hutang untanya tadi dengan unta yang lebih besar dan lebih baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu, ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).”

Kini, berhutang sudah jadi ‘trend’ dalam kehidupan masyarakat. Untuk memiliki apa saja keperluan hidup dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang itu perlu berhutang. 
Tetapi malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan hutang mengikut perjanjian dibuat. Adakalanya orang yang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan si penghutang itu.

Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik sesuatu hutang yang dibuat.

Rasulullah SAW mengingatkan kita, orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang adalah termasuk dalam perbuatan zalim.

Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah bin Amir yang bermaksud: “Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Hutang.” 

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa ia membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.

Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai hubungan yang amat rapat. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barang siapa memberikan, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah”. (Hadis Hasan).

Dalam kisah perjalanan Rasulullah SAW. bersama malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah sebuah pintu syurga kata-kata bermaksud, ‘Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda’.

Lalu baginda bertanya kepada Jibril, “Mengapa demikian? Jawab Jibril, “sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang kalau tidak kerana sebab-sebab yang mendesak”.

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim)

Pun begitu, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib bila ia bertujuan memenuhi keperluan yang begitu mendesak, seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa jua bencana alam dan golongan manusia yang termasuk dalam golongan kurang upaya.

Ini bersesuaian dengan kehendak Allah seperti yang tercatat di dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”.

Bagi pihak orang yang berhutang pula Rasulullah SAW mengingatkan bahawa orang yang berhutang akan terus terikat dengan pembayaran balik atas segala hutang dibuat. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa hidup di dunia. Ini kerana apabila seseorang yang berhutang itu meninggal sewaktu masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehinggalah dijelaskan hutang tersebut.