Sabtu, 26 Februari 2011

Zikir Berkesan Untuk Sembuhkan Penyakit

Persoalan Agama

Umat Islam digalak tabah, berusaha rawat sakit asalkan ikut peraturan agama

Soalan:
Saya ingin bertanya mengenai sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perbanyakkanlah membaca La Haula Wa La Qawwata Illa Billah kerana sesungguhnya bacaan ini adalah ubat bagi penyakit, yang mana penyakit paling ringan adalah kebimbangan". Soalan saya: Apakah penyakit itu?

Umat Islam digalak tabah, berusaha rawat sakit asalkan ikut peraturan agama

Hamba-Nya,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Alhamdulillah , wassholatu wassalam ‘ala rasulillah, waba’d. Hadis itu adalah riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath dan al-Hakim yang berbunyi: “Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu. (Maksudnya: Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan).

Penyakit yang dimaksudkan itu ada terkandung dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Contohnya seperti hadis riwayat Abu Daud, daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma innii ‘auuzhu bika minal barashi wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il asqaam (yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit yang berat).”

Begitu juga hadis riwayat Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal (yang bermaksud: “Ya Allah, saya berlindung kepada-Mu daripada penyakit gelisah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada timbunan hutang dan penindasan orang.”

Saudara, apa yang penting pada hadis berkenaan ialah untuk menyatakan kelebihan dan manfaat besar kepada orang yang banyak menyebut ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah.’ Maksudnya tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT.

Ucapan itu dinamakan Hauqalah. Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita tidak sukai, banyakkan menyebut hauqalah. Imam a-Nawawi berkata: “La haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan [kemudaratan] dan tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga.

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”

Begitu juga hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan salah satu perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Saya menjawab: “Mahu ya Rasulullah. Kemudian Baginda bersabda: La haula wala quwwata illa billah.”

Daripada Ibnu Mas’ud beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Wahai Muaz, adakah kamu tahu tafsir (maksud) La haula wala quwwata illa billah? Muaz menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Rasulullah SAW bersabda: La haula (tiada daya) dari menghindari maksiat kepada Allah melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada kekuatan) atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Kemudian Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan Baginda bersabda: “Demikianlah yang diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.”

Sebenarnya apabila kita banyak menyebut Allah SWT atau berzikir mengingati-Nya sebanyak-banyaknya, ia mampu menjadi penyembuh, tetapi sekiranya kita banyak ingat kepada manusia ia boleh menjadi penyakit. Wallahua’lam.

INFO: SEBARANG kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat
Berita Minggu, Berita Harian
Sdn Bhd, Balai Berita,
31 Jalan Riong, 59100
Bangsar, Kuala Lumpur.





Zikir Berkesan Untuk Sembuhkan Penyakit

Jumaat, 25 Februari 2011

Konsep Tadhkiyyah Terapi Batin Rawat Penyakit hati

Pada prinsipnya, insan diciptakan Allah SWT dalam keadaan fitrah. Dapat difahami insan dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih daripada sifat tercela. Namun begitu, dalam proses perkembangan sebagai seorang manusia, perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran yang akan mengujinya untuk menjadi insan terpuji. Islam memberi panduan bahawa jiwa setiap insan perlu disuburkan dengan nilai rohaniah yang berfungsi sebagai pelengkap kepada akhlak manusia.

Justeru, nilai dinyatakan itu menjadi pendorong dan pemangkin kepada seluruh perlakuan dan tingkah laku manusia yang memantulkan tindakan yang bersifat mahmudah seperti amanah, sabar, toleransi, ikhlas, bertanggungjawab, berfikiran positif dan sebagainya. Kepentingan menghayati nilai terpuji yang diutarakan Islam bertujuan memberi panduan kepada jiwa insan supaya selari dengan konsep khilafah dan khalifah al-ard.
Proses melahirkan insan yang memiliki hati budi luhur memerlukan unsur yang bertindak sebagai daya membentuk acuan keperibadian unggul. Bagi memenuhi aspirasi objektif murni itu, konsep tadhkiyyah dilihat sebagai mekanisme yang penting untuk membersihkan jiwa manusia daripada dicemari unsur yang menghalang pintu hati daripada menerima hidayah Ilahi. Dengan kata lain, nilai terkandung dalam konseptual tadhkiyyah dilihat sebagai ejen penyucian bersifat dinamis bagi membersihkan zahir dan batin manusia melalui terapi rohaniah. Di samping itu, ia turut membersihkan sistem jaringan manusia sama ada membabitkan interaksi manusia dengan Allah, sesama manusia, alam dan juga makhluk lain.

Oleh kerana insan dikategorikan sebagai makhluk dwidimensi iaitu zahiriah dan batiniah, ia dianugerahkan potensi istimewa sama ada cenderung kepada kebaikan atau sebaliknya. Meskipun manusia diberi alternatif memilih dua jalan itu atas kapasitinya sebagai khalifah al-ard, namun ia bertanggungjawab sepenuhnya di atas pilihan itu.

Ini kerana, manusia dikurniakan keupayaan istimewa berbanding makhluk lain iaitu potensi akliah, rohaniah, jasmaniah dan bimbingan wahyu bersesuaian dengan fungsinya memakmurkan alam ini. Atas keperluan ini, konsep tadhkiyyah dilihat sebahagian daripada keperluan rohaniah yang penting kepada manusia sebagai persediaan mencapai kedudukan tinggi atau dikenali sebagai insan kamil.

Dalam mengupas persoalan ini, intelektual falsafah Islam seperti al-Ghazali dalam karyanya bertajuk ‘Keajaiban-keajaiban hati’ memberikan pandangan konsep tadhkiyyah digagaskan Islam perlu mencakupi unsur nilai tertentu. Pada asasnya, unsur itu perlu dicantumkan untuk membentuk kerangka asas kepada konsep tadhkiyyah seperti dituntut syarak.
Unsur nilai yang dinyatakan adalah seperti berikut:

  • Taharah yang memberi konotasi menyucikan tubuh badan manusia daripada najis dan benda kotor pada syarak;

  • Membersihkan anggota tubuh badan manusia daripada perbuatan atau tindakan yang diklasifikasikan sebagai dosa;

  • Membersihkan pandangan mata hati manusia daripada tingkah laku dikategorikan sebagai akhlak yang buruk dan dikeji syarak;

  • Membersihkan aspek batiniah manusia daripada memfokuskan perhatian kepada semua perkara melainkan kepada Allah SWT;

  • Ibadah yang memberi maksud mengabdikan diri kepada Allah SWT secara mutlak;

  • Dhikir bermaksud manusia sentiasa melazimi mengingati Allah dan mengiktiraf kebesaran-Nya secara istiqamah setiap masa;

  • Doa sebagai makhluk yang lemah, manusia sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon bantuan dan pertolongan;

  • Taubat manusia sentiasa menginsafi setiap tindakan yang dilakukan dan mendisiplinkan diri memohon keampunan kepada Allah ke atas segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan;

  • Sabar yang menjadi sebahagian daripada nilai luhur yang dituntut untuk dihayati oleh setiap manusia. Melalui nilai itu, ia dapat meningkatkan daya ketahanan dalaman diri manusia bersabar menerima segala ujian yang telah ditentukan oleh Allah;

  • Muhasabah iaitu apabila wujudnya penghayatan nilai ini dalam diri manusia, ia akan membuka pintu kesedaran pada hati dan akal manusia untuk menilai dan mengkritik setiap tindakan yang dilakukan menurut pertimbangan syarak.

    Justeru, apabila wujudnya keharmonian, unsur yang dinyatakan dalam ruang lingkup konsep tadhkiyyah, ia menjadi panduan kepada manusia untuk diterjemahkan dalam tindak-tanduknya. Hakikatnya, perbuatan manusia yang diwarnai konsep tadhkiyyah ternyata memberi kesan positif terhadap perlakuannya.

    Ini kerana konsep itu dilihat sebagai terapi batin bagi merawat penyakit rohani yang dihadapi manusia. Jiwa manusia yang bertuhankan hawa nafsu sering gemar kepada perlakuan keji seperti hasad dengki, tamak, menipu, rasuah, membunuh, berzina dan sebagainya. Dengan kata lain, jiwa manusia yang terpengaruh kepada bisikan syaitan dan hawa nafsu akan menzahirkan nilai tercela dalam tindakan mereka.
  • Isnin, 21 Februari 2011

    Usia muda Perlu di suburkan dengan Keimanan

    Kesibukan bekerja, bersukan serta berhibur buatkan remaja lupa merawat penyakit rohani.

    Sifat manusia adalah suka menghambakan diri kepada tuannya yang suka menolong, melindungi dan suka mengambil berat. Atau dengan kata lain, manusia rela mengabdikan diri kepada sesiapa yang dicintainya.

    Hakikatnya, cinta yang teratas adalah cinta antara makhluk dengan Pencipta-Nya. Usia muda tidak akan bertahan kerana ia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tiba masa tua. Setiap detik berlalu tidak akan berulang lagi, saat remaja hanya tinggal kenangan.

    Jika masa remaja tidak digunakan sebaiknya, pasti akan meninggalkan kenangan pahit pada hari tua. Masa tua segala-galanya tiada yang indah, kudrat tenaga sudah semakin lemah, selera makan kian menurun meskipun disajikan makanan lazat, sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal melawan penyakit menjadi semakin lemah dan keterbatasan tidak melingkungi dirinya.

    Dalam keadaan sedemikian, mungkin seseorang baru menyedari betapa masa muda itu amat berharga. Oleh itu, mensia-siakan masa muda yang sangat bererti bagaikan menempah derita, menanggung penyesalan, menyesal kemudian hanya satu kesengsaraan.

    Memandangkan usia manusia amat terbatas, masa diperlukan dengan berjimat dalam usaha membentuk nafsu dan jiwa untuk persediaan menjadi hamba Allah yang muttaqin.

    Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih serta berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.(Surah Al-Asr, ayat 1-3)
    Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Kami kisahkan kepada engkau perkhabaran mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan dan Kami tambahkan mereka itu dengan petunjuk.” (Surah Al-Kahfi, ayat 13)

    Tingkah laku sosial sebahagian umat Islam ketika ini tanpa mengira kedudukan tua atau muda, berpendidikan atau tidak semacam tergambar betapa lemahnya akidah dan keimanan mereka. Kehidupan mereka semakin kalis dengan tuntutan agama.

    Dalam situasi kekeluargaan, ibu bapa seperti hilang panduan, dalam institusi pendidikan, guru seperti buntu dari segi pendekatan dan dalam komuniti bernegara, masalah sosial makin sukar dibendung.

    Walaupun masalah ini sering dikaitkan dengan remaja tetapi hakikatnya ia berlaku tanpa mengira umur dan latar belakang. Ulama Islam sepakat mengatakan akidah tauhid adalah dasar paling utama untuk mengenal Allah.

    Ia juga menjadi pokok pemikiran membentuk kerangka perjuangan membina tauhid secara sepadu di samping mengandungi ajaran yang seimbang antara jasmani dan rohani, antara kebendaan serta kemanusiaan.

    Selain mendasari pemikiran, akidah juga mendasari amalan. Sebaik mana sekalipun amalan seseorang, ia tidak akan diterima Allah kecuali dilakukan oleh orang beriman yang berpegang kepada akidah yang benar dan sah.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Iman ada mempunyai 70 atau mempunyai 60 cabang, maka yang sebaik-baik ucapan perkataan Laa Ilaha Ilallah dan serendah-rendahnya membuang sesuatu benda yang menyakiti manusia di tengah jalan dan malu itu sebahagian daripada cabang iman.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

    Memandangkan iman boleh bertambah dan berkurang, marilah kita berusaha menambah serta menyuburkan keimanan kita melalui amal salih yang merangkumi ibadat umum dan khusus.

    Membiasakan sunnah, akan dapat memelihara yang wajib, meninggalkan yang makruh akan dapat menghindari yang haram.

    Sebagai manusia biasa, kita mudah untuk membuat rawatan penyakit jasmani tetapi bagaimana pula usaha mengesan dan merawat penyakit rohani jika sentiasa dilalaikan dengan kesibukan bekerja, keseronokan bersukan dan keasyikan berhibur?

    Hanya iman saja dapat memandu dan menentukan jalan yang benar seperti kisah Saidina Umar bin Al-Khattab yang mengajak sahabatnya menambahkan iman mereka dengan memperbanyakkan zikrullah.

    Diriwayatkan oleh Abu Jaafar daripada datuknya Amir Habib, seorang sahabat Rasulullah SAW katanya yang bermaksud: “Iman itu bertambah dan berkurang, lalu sahabat bertanya: Bagaimana bertambah dan berkurang? Jawabnya: Apabila menyebut dan mengingati Allah dan memuji-Nya (mengucapkan Alhamdulillah) serta menyucikan-Nya (menyebut Subhanallah), maka itu menyebabkan iman bertambah.”

    Penulis ialah Naib Juara Program Imam Muda terbitan Astro Oasis

    Ahad, 20 Februari 2011

    Kewajipan Berdakwah Kepada Muslim

    Tugas Rasulullah SAW selepas menerima wahyu pertama sekali gus mengiktiraf Baginda sebagai rasul utusan Allah SWT adalah menyampaikan dan mengajak manusia kepada jalan kebenaran iaitu jalan Allah SWT, pada masa sama mencegah daripada terjebak dengan kemungkaran.

    Justeru, dakwah menjadi tugas warisan daripada Rasulullah SAW kepada setiap umatnya tetapi hanya segelintir yang memandang dakwah sebagai perkara besar dan keutamaan dalam kehidupan.
    Mungkin ramai orang Islam hari ini berpandangan tugas dakwah boleh dilucutkan daripada pertanggungjawaban mereka kerana sudah wujud agensi kerajaan khususnya di bawah Jabatan Agama Islam Negeri yang mempunyai Unit Dakwah.

    Ditambah pula adanya organisasi dakwah sukarela seperti Angkatan Belia Islam (ABIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan yang berkaitan kerajaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang aktif menjalankan aktiviti dakwah dalam konteks serta kemampuan tersendiri.

    Ini menambahkan lagi tanggapan bahawa tugas dakwah boleh diserahkan kepada mereka yang bertanggungjawab atau dalam erti kata lain mereka yang bekerja makan gaji dengan organisasi berkenaan.

    Umat Islam seharusnya menyedari tanggungjawab dakwah adalah kewajipan semua. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.”

    Firman Allah SWT lagi bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)
    Daripada kebanyakan lapangan dakwah yang pelbagai itu, ada satu cabang dakwah sangat penting dan utama bagi seseorang Muslim khususnya lelaki iaitu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran kepada keluarga.

    Allah SWT memberi amaran keras bermaksud: “Wahai orang yang beriman, pelihara dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

    Berdasarkan ayat itu jelas bahawa dakwah untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran harus bermula terlebih dulu dari dalam diri, ahli keluarga seterusnya kepada masyarakat. (Surah Ali-Imran, ayat 104)

    Sabtu, 19 Februari 2011

    Kewajipan Beriman Dengan Injil

    Firman Allah S.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 285 (yang bermaksud): “Rasulullah sudah beriman kepada apa yang diturunkan kepada Tuhannya dan juga orang yang beriman semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-Nya, dan kitab-Nya”Antara rukun Iman yang wajib kita yakini iaitu beriman kepada kitab yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya. Di antara kitab itu adalah Injil yang diturunkan kepada Nabi Allah Isa. Maksud beriman dengan kitab Injil iaitu kitab Injil (asal) yang diturunkan kepada Nabi Isa dan bukanlah injil yang sudah diubah oleh tangan manusia.

    Sesiapa yang mengingkari kitab Injil yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Allah Isa adalah kufur dan keluar daripada agama Islam, murtad wal’iyazubillah.

    Tersebut dalam kitab suci al-Quran pada surah Ali Imran, ayat 1 hingga 4 dengan firman-Nya yang bermaksud: “
    Alif, Laam, Miim. Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir sekalian makhluk-Nya. Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran yang mengesahkan isi kitab suci yang sudah diturunkan dulu daripadanya dan Dia juga menurunkan kitab Taurat dan Injil. Sebelum (al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga menurunkan al-Furqaan (yang membezakan antara benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat”

    Kepada saudara yang bertanyakan benarkah kitab Injil menerangkan bahawa Isa anak Tuhan? Maka untuk permasalahan ini, saya ingin menyatakan berdasarkan kitab Injil menurut riwayat Barnaba kerana Injil ini adalah yang hampir dengan Injil yang asli. Namun Injil ini ditolak oleh penganut kristian. Terjemahannya iaitu:
    • 1. Barnabas Rasul Yesus (Isa) orang Nazaret yang bergelar al-Masih, menginginkan kesejahteraan dan hiburan bagi seluruh penduduk bumi.

    • 2. Wahai orang yang terhormat. Bahawasanya Allah yang Maha Besar, dan penuh ajaib sudah menilik kita pada hari-hari yang akhir ini dengan mengutus Nabi-Nya Yesus al-Masih, dengan rahmat besar untuk mengajar dan menjelaskan cara-cara yang sudah digunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menyesatkan ramai orang dengan alasan takwa.

    • 3. Mereka menyebarkan ajaran kekufuran yang berlebihan.

    • 4. Mereka mendakwa bahawa al-Masih itu anak Allah SWT.

    • 5. Mereka menolak sunat yang selama ini diperintahkan oleh Allah SWT.

    • 6. Mereka menghalalkan setiap daging yang najis.

    • 7. Paulus juga sudah ikut serta di kalangan mereka, hal yang menyebabkan saya tidak bercakap mengenainya melainkan kesedihan.

    • 8. Ini yang mendorong saya menulis kebenaran yang sudah saya lihat dan mendengarnya ketika bergaul dengan Yesus, agar kamu semua selamat dan tidak disesatkan oleh syaitan yang akan membinasakan kamu pada hari pembalasan Allah.



    Demikian Mukadimah Injil Barnabas yang sudah diterjemahkan. Justeru, maksud beriman dengan kitab Injil iaitu kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa, bukan injil yang sudah diubah oleh tangan manusia.

    Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 171 yang bermaksud:
    “Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar, sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang sudah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan kamu mengatakan (Tuhan itu) tiga. Berhenti (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan kepada kamu. Hanya Allah SWT ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak..” Demikianlah.

    Jumaat, 18 Februari 2011

    Mendidik Hati Supaya Bersih & x dengki

    Diceritakan kepada sahabatnya, Abu Zarr Al-Ghifari, katanya Nabi SAW pernah suatu hari berpesan kepadanya: “Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)
    Ini satu panduan terbaik buat kita menelusuri kehidupan di dunia dengan tidak menyimpan perasaan hasad dengki dan iri hati terhadap orang lain. Memang benar, ada manusia diberikan nikmat kurniaan dalam bentuk limpahan kekayaan kebendaan ataupun anak yang ramai.

    Dalam hal pemilikan harta kekayaan dunia, seharusnya kita meneliti bagaimana orang itu mendapat hasilnya. Mungkin kerana kecekapan dan kegigihan usaha penuh dedikasi sehingga memperoleh nikmat Allah itu. Kita fikir dan renunglah sebagai iktibar supaya turut sama berusaha gigih.

    Kita dilarang keras melakukan sebarang pengkhianatan ataupun perbuatan sabotaj terhadap usaha dan perolehan mereka.

    Cubalah kita membawa mata hati berfikir dan melihat kepayahan hidup orang lain yang lebih rendah daripada kita. Sudah tentu pada ketika itu kita berasa sangat bersyukur kerana berada dalam keadaan lebih baik.

    Ini sebenarnya inti pati hadis Nabi SAW yang mengajak seluruh umatnya bersyukur atas segala nikmat dimiliki dan tidak melihat kepada golongan yang sudah kaya dan mewah hidupnya sehingga terkocak dalam hati rasa dengki.
    Rasulullah SAW meminta kita sentiasa bersikap syukur atas nikmat diberikan Allah dan bersifat qanaah, iaitu berasa cukup kurniaan Allah.

    Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya sangat beruntunglah orang yang memeluk Islam, diberikan rezeki yang cukup, dan Allah menjadikannya berasa puas terhadap apa yang Dia berikan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

    Namun, dalam aspek ibadah, kita harus melihat kepada orang yang lebih baik daripada kita. Jika ada kalangan sahabat atau ahli masyarakat yang hebat amal ibadat wajib mahupun sunat, perlu dijadikan ikutan supaya kita juga tergolong dalam kategori mukmin salih dan kuat beribadah.

    Ingat pesanan Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. Kerana bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’, ayat 32)

    Selain itu, perbuatan berdengki dengan nikmat dimiliki orang lain akan membawa kepada kemurkaan Allah dan menyebabkan si pelaku hilang pahala segala amalnya. Oleh itu, kita sewajarnya mendidik hati supaya bersih daripada tompokan rasa dengki.


    Isnin, 14 Februari 2011

    Nabi Muhammad Penyelamat Maruah Wanita Daripada Kehinaan

    Firman Allah SWT bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu, pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat serta dia menyebut dan mengingati Allah (pada masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

    Memperingati dan meraikan kelahiran Baginda SAW adalah satu tuntutan dan bukti kecintaan kita terhadap baginda. Hendaklah kita mewujudkan perasaan kasih sayang yang tinggi terhadap Nabi akhir zaman yang menduduki tempat itu dalam senarai ‘The 100 Most Influential People in History’ seperti yang dipaparkan dalam tulisan Michael Hart.

    Kehebatan Nabi SAW dan kelahiran baginda telahpun diberitakan menerusi kitab Taurat dan Injil. Namun fakta itu disembunyikan oleh golongan Yahudi dan Nasrani disebabkan Nabi Muhammad SAW bukanlah daripada kalangan mereka tetapi orang Arab.
    Dalam al-Quran banyak diceritakan mengenai kelahiran Nabi SAW sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam. Firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 107)

    Menurut jumhur ulama bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada Isnin 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Suasana dunia ketika baginda dilahirkan ke dunia terbahagi kepada dua kuasa besar iaitu empayar Rom dan Parsi. Rom mewakili dunia penganut agama Nasrani dan Parsi mewakili penganut Majusi (penyembah api).

    Ketika itu kaum wanita dianggap masyarakat kelas dua. Mereka dilayan sebagai alat memuaskan nafsu semata-mata. Mereka diperdagangkan, perjudian dan arak adalah perkara biasa dan bukan dianggap suatu keaiban bagi masyarakat Jahiliah.


    Kelahiran anak perempuan adalah satu kehinaan di sisi masyarakat Arab Jahiliah. Mereka sanggup membunuh anak perempuan bagi menjaga maruah di sisi kaum mereka. Peperangan dan pembunuhan adalah perkara lumrah. Bangsa Arab berada dalam keadaan huru-hara, tiada pemimpin negara kerana mereka lebih berbangga dengan suku kaum masing-masing. Pertelingkahan yang kecil boleh mengakibatkan perseteruan berkurun tahun lamanya.


    Tegasnya, sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, dunia berada di persimpangan kegelapan moral dan tauhid walaupun tegaknya dua tamadun empayar manusia yang besar iaitu Rom dan Parsi.

    Diceritakan bahawa kelahiran Nabi SAW itu dikenali Tahun Gajah sempena tewasnya tentera bergajah Raja Abrahah yang beragama Kristian mengerah tenteranya ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah bagi masyarakat dunia bertumpu ke gereja yang dibina di Syam, ibu kota Yaman seperti dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: ”Tidakkah kamu melihat bagaimana Tuhan kamu memperlakukan terhadap tentera bergajah (yang hendak meruntuhkan Kaabah).” (Surah al-Fiil, ayat 1)
    Kemudian pada akhir ayat Allah berfirman bermaksud: “Dan Allah mengutuskan ke atas mereka burung ababil yang melontarkan mereka dengan batu daripada tanah yang dibakar (sijjil). Maka jadilah mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).” (Surah al-Fiil, ayat 5)

    Bapa Nabi SAW ialah Abdullah bin Abdul Muttalib seorang pedagang dari Syam yang meninggal dunia ketika baginda berusia enam bulan dalam kandungan. Dikisahkan ketika baginda dilahirkan, Nabi SAW tidak menangis seperti bayi lain. Apabila Nabi berpaling ke arah Parsi, api sembahan kaum Majusi di Parsi (Iran) terpadam dengan tiba-tiba. Apabila berpaling ke arah ibu kota Rom, istana maharaja Rom bergegar, Raja Rom memerintahkan agar dicari dan dibunuh bayi berkenaan.

    Perkara ajaib yang berlaku adalah mukjizat kenabian yang Allah tunjukkan bagi tujuan agar masyarakat Arab dan dunia memberi perhatian dan mengenali dengan Nabi Muhammad SAW. Ia juga sebagai suatu hikmah yang mana ia dapat menjawab segala tohmahan orientalis yang ingin merosakkan nama baik dan peribadi Nabi yang sebenarnya dipelihara oleh Allah sejak lahir lagi.

    Siti Aminah, bonda Nabi ditakdirkan meninggal dunia ketika usia Nabi enam tahun. Kemudian baginda dipelihara datuknya Abdul Muttalib. Pada usia lapan tahun, Abdul Muttalib pula meninggal dunia dan Abu Talib, bapa saudara Nabi memeliharanya sehingga baginda meningkat dewasa dan membawanya ke Syam untuk berjumpa pendeta Nasrani, Buhara/Bahira serta melihat tanda nubuwah Nabi. Pendeta itu memperingatkan Abu Talib agar menjaga Muhammad daripada orang Yahudi dan Nasrani, jika mengetahuinya mereka akan membunuh anak saudaranya itu.


    Pengajaran dan iktibar daripada kisah perjalanan hidup (sirah) Nabi Muhammad SAW ketika lahir dan dibesarkan oleh Abu Talib penuh dengan liku, menjadi anak yatim pada usia kecil memang satu dugaan besar. Ini membentuk jiwa yang kental, sabar dan tabah.

    Mukjizat yang berlaku terhadap Nabi pada saat kelahirannya dan sepanjang zaman membuktikan bahawa Nabi akhir zaman itu sebagai pemimpin dan penyelamat umat manusia sejagat.

    Memperingati ulang tahun kelahiran Nabi SAW memang digalakkan tetapi hendaklah bersesuaian dengan cara yang tidak bercanggah dengan syariat agama.


    Hendaklah umat Islam mengikuti sunnahnya, bercakap benar (siddiq), beramanah (amanah), menyampaikan (tabligh) dan bijaksana (fatanah). Antara sunnah harian Nabi ialah membaca doa sebelum dan selepas makan. Membaca doa sebelum dan apabila bangun tidur. Membaca doa sebelum keluar dan ketika balik ke rumah. Masuk tandas dengan kaki kiri dan doa, keluar tandas dengan kaki kanan dan doa. Mengucup hujung jari selepas makan, membaca doa selepas wuduk, membaca doa semasa pergi ke masjid, masuk masjid dan keluar masjid, membaca doa ketika memulakan (menaiki) kenderaan.

    Sirah Nabi ketika kecil tidak pernah menyembah berhala dan terbabit dalam kehidupan sosial Arab Jahiliah yang penuh kekufuran dan kesyirikan. Menyayangi orang miskin, ibu tunggal, anak yatim dan berusaha membantu mereka, selain menghindari semua kejahatan Jahiliah seperti judi, minuman keras dan sebagainya. Berkelakuan lemah lembut sehingga Baginda dikenali sebagai as-Siddiq (yang benar) dan al-Amin (yang dipercayai).

    Nabi SAW pernah melihat Yahudi berpuasa asyura sempena memperingati kisah terselamatnya Nabi Musa daripada Firaun, dan bersabda : “Kami adalah lebih berhak daripada kamu mengenai Musa (amalan berpuasa).” Maknanya, Nabi sendiri memperingati peristiwa agama. Maka sudah tentulah kita umat Islam perlu mengingati kelahiran Nabi SAW.

    Kita digalakkan memohon kepada Allah SWT agar diberi dorongan dan kekuatan untuk terus berusaha menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang terbaik (khaira ummah) dan sebagai ummatan wasata (umat pilihan/umat teladan) dan menjadi saksi di antara sekalian umat manusia sejagat.

    Firman Allah bermaksud: “Supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia. Oleh itu dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, dan Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 78)

    Oleh Ibrahim Abdullah


    Sabtu, 12 Februari 2011

    Cetek Ilmu Punca Persoal Larangan Rai Hari Kekasih

    Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi perlu diikat akad yang kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.

    Ikatan perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia kerana matlamatnya menjadikan masyarakat stabil, aman dan harmoni. Keindahan menzahirkan kasih sayang itulah dianjurkan Islam dan disemai setiap hari tanpa perlu menunggu satu hari dalam setahun.

    Apatah lagi, jika jelas kesan daripada sambutan itu menjurus kepada perkara tidak baik apabila ada pihak melakukan perbuatan menyalahi syarak semata-mata untuk membuktikan apa yang dikatakan ‘kasih sayang’.

    Oleh Hasliza Hassan

    Sambut perayaan Kristian Perlekeh Akidah, Pegangan Muslim

    PANEL Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

    Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Amalan merayakan Valentine Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan Islam.”
    Hakikatnya larangan bagi meraikan sambutan Hari Valentine berpaksikan kepada dua alasan utama iaitu pertama, ia dilarang nas syarak dan kedua ia mampu mendatangkan kesan kehancuran yang besar kepada agama, bangsa dan negara.
    Menurut Rizki Ridyasmara dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, sejarawan masih tiada kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diingati.

    Bagaimanapun, berdasarkan sejarah, ada empat pendapat popular berkaitan Hari Valentine.

    Pendapat pertama mengaitkan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia iaitu upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.

    Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bernama Juno Februata. Pada hari itu pemuda Rom memilih nama gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak, kemudian mereka mencabut nama daripada kotak terbabit secara rawak.
    Nama gadis yang tertera akan menjadi pasangan dan objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan Dewa Lupercalia daripada gangguan serigala dengan menyembelih anjing dan kambing.

    Kemudian mereka memilih dua pemuda Rom dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang itu ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Selepas itu diadakan perarakan besar-besaran diketuai dua pemuda itu yang memukul orang ramai di laluan dengan kulit binatang dan wanita berebut untuk menerima pukulan kerana beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.

    Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Peristiwa ini yang sering dikaitkan dengan kisah pengorbanan besar demi keagungan cintanya terhadap agama sementara versi lain, cinta kepada seorang gadis.

    Pendapat ketiga, ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St Valentine ialah individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu.

    Disebabkan sumbangan itu, St Valentine dianggap kekasih rakyat dan 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol yang dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

    Pendapat keempat pula berdasarkan apa yang dinukilkan Geoffrey Chaucer, penyair Inggeris dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.

    Berdasarkan versi itu, jelaslah tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan sudah terang lagi bersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan akidah Islam dan orang Islam sendiri.

    Jumaat, 11 Februari 2011

    Rasulullah Ikutan Yang Baik

    Rasulullah S.A.W diutuskan untuk mengajarkan umat manusia berakhlak mulia, sama dalam berhubungan dengan Allah dan sesama manusia. Ada banyak contoh akhlak mulia diajarkan Rasulullah SAW dalam berhubungan sesama manusia antaranya ialah menepati janji.


    Memang diakui kita tidak terlepas daripada membuat janji ketika menjalani kehidupan seharian. Contohnya, suami berjanji dengan isterinya, ayah berjanji dengan anaknya, sahabat berjanji dengan sahabatnya, rakan sekerja berjanji rakannya, pekerja berjanji dengan majikannya, pemimpin berjanji dengan rakyatnya dan begitulah sebaliknya.

    Malah, ada kala seseorang itu berjanji juga dengan Allah atau bersumpah dengan nama-Nya untuk melakukan perkara kebajikan dan meninggalkan kemungkaran. Hakikatnya Islam tidak melarang umatnya berjanji dengan sesiapa pun, asalkan janji itu ditepati dan ditunaikan, khususnya dalam perkara kebajikan.

    Oleh Mohd Shukri Hanapi